
CINTA
AHMAD MUTAWAKKIL
(Zainal Rashid Ahmad)
Sinopsis
Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil ( Zainal Rasyid Ahmad) telah menggunakan
pendekatan sorot balik tentang kisah perjuangan Ahmad Mutawakkil dalam
menzahirkan cintanya terhadap bangsa dan negara. Ahmad Mutawakkil yang parah
ditembak telah memeranjatkan penduduk kampung yang ketika itu sedang berdoa
seusai solat maghrib. Setelah menjelaskan keadaan Ahmad Mutawakkil yang parah,
terkulai lalu pengsan, penulis mula mengimbas kembali kisah perjuangan anak
muda tersebut bermula daripada perubahan sosioekonomi penduduk kampung kesan
kehadiran Tuan Booth sekeluarga. Kehadiran mereka bukan sahaja berjaya
meningkatkan ekonomi penduduk kampung, malahan Ahmad Mutawakkil membesar
sebagai pemuda berilmu hasil bantuan anak Tuan Booth, Sandra. Dia bukan sahaja
menjadi penyebar maklumat tentang hal ehwal semasa kepada masyarakat di
kampungnya, malahan turut bekerja membaca dan menjawab surat-surat rahsia
daripada Inggeris untuk kumpulan anti-Jepun.
Cerpen ini diteruskan lagi dengan Ahmad
Mutawakkil menyampaikan khabar kepada penduduk kampung tentang pengeboman
Hiroshima dan Nagasaki yang membawa kelegaan dan rasa syukur mereka. Ahmad
Mutawakkil kemudiaannya digambarkan sebagai pemuda yang berjiwa pemimpin
apabila dia dapat mempengaruhi penduduk kampung dengan pidatonya yang
membangkitkan semangat patriotisme dalam jiwa mereka. Dalam masa yang sama
Ahmad Mutawakkil berjaya mengajak penduduk kampung untuk menjalinkan
silaturahim dengan Tuan Booth sekeluarga yang tidak pernah memusuhi masyarakat
di situ. Cerpen ini juga dikembangkan dengan kisah hubungan antara Ahmad
Mutawakkil dengan Sandra yang sering menjadi tanda tanya kepada penduduk di
situ.
Plot dirumitkan lagi dengan situasi 16 Jun
1948 di Perak apabila darurat diisytiharkan kerana Parti Komunis Malaya mula
menggila. Ahmad Mutawakkil tetap mengajak masyarakat kampungnya berjuang tanpa
menghiraukan keselamatan dirinya walaupun pihak komunis telah memberi amaran
kepadanya melalui Tuan Booth agar tidak menghasut orang kampung membenci
komunis.
Kemuncaknya, Ahmad Mutawakkil berjaya
meniupkan semangat perjuangan yang begitu mendalam dalam jiwa penduduk kampung
melalui pidato citra merdeka dan kritikan terhadap bangsa Melayu yang sanggup
diperalat Parti Komunis Malaya. Setelah ditemui oleh seorang budak lelaki yang
tidak dikenali seusai majlis ceramah tersebut, Ahmad Mutawakkil pergi dan tidak
pulang-pulang sehingga dia datang pada malam esoknya di surau kampung dalam
keadaan berlumuran darah. Ahmad Mutawakkil terbunuh namun semangat
perjuangannya terus membara dalam masyarakat kampung sama seperti mereka rindu
akan kata-kata semangat anak muda itu “ Tanah Melayu pasti merdeka!”. Tuan
Booth sekeluarga pulang ke England seminggu selepas Tanah Melayu merdeka namun
rasa cinta yang mendalam Sandra terhadap Ahmad Mutawakkil telah membawa dia
pulang ke kampung tersebut untuk meneruskan kehidupannya di situ.
Tema
Cerpen
Cinta Ahmad Mutawakkil (Zainal Rasyid Ahmad) memaparkan tema perjuangan
mementang penjajah. Ahmad Mutawakkil yang merupakan watak utama dalam cerpen
ini telah menzahirkan cintanya terhadap bangsa dan negara melalui perjuangan
menentang penjajah Inggeris, Jepun dan Komunis. Ahmad Mutawakkil telah menggunakan
penguasaan ilmunya dalam menjadi penyebar maklumat tentang penjajah kepada
mesyarakat di kampungnya. Sejak usia belasan tahun lagi, Ahmad Mutawakkil telah
menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin muda yang berpengaruh. Hal ini
dibuktikan melalui pidato- pidato yang disampaikan kepada masyarakat kampung
untuk meniupkan semangat patriotisme dalam diri setiap ahli masyarakat. Ahmad Mutawakkil
merupakan seorang pemuda yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi
sehinggakan tidak sanggup menerima sebarang pujian selagi Tanah Melayu belum
merdeka. Dia sanggup menggadaikan nyawanya untuk menentang komunis dan akhirnya
dia terbunuh sebelum mengecap kemerdekaan Tanah Melayu. Perjuangan dan
pengorbanannya terus diingati oleh masyarakat kampungnya sama seperti mereka
mengingati kata-kata anak muda itu “Tanah Melayu pasti merdeka!”.
Persoalan
1. Persoalan
perubahan sosioekonomi masyarakat kampung
Contoh: Kedatangan Tuan Booth dan keluarga
telah merubah sosioekonomi masyarakat kampung apabila beliau telah mengupah
beratus-ratus buruh termasuk penduduk kampung sendiri untuk meneroka belukar
bagi meluaskan penanaman getah. (m/s 40)
2. Persoalan
kepentingan sikap berdikari dalam kehidupan
Contoh: Ahmad Mutawakkil belajar berdikari
setelah kematian bapanya, Wan Sadir dengan cara bekerja dengan orang putih.
(m/s 41)
3. Persoalan
kesan kedatangan penjajah
Contoh:Kedatangan penjajah yang membawa
kepada serangan telah menyebabkan seluruh ketenangan hidup masyarakat kampung
hilang. (m/s 42)
4. Persoalan
tanggungjawab seorang pemimpin
Contoh: Imam Ngah Deraman bergegas
meninggalkan surau selepas solat isyak untuk mencari Ahmad Mutawakkil yang
kehilangan tempat menumpang nasib setelah pemergian Tuan Booth sekeluarga
akibat kedatangan Jepun dan mengambil Ahmad Mutawakkil sebagai anak
angkatnya.(m/s 43)
5. Persoalan kepentingan menguasi ilmu dalam
kehidupan
Contoh:
Ahmad Mutawakkil menjadi tempat penduduk kampung mendapatkan
maklumat
tentang hal ehwal semasa kerana dia boleh menulis dan bercakap
dalam
bahasa Inggeris. (m/s 44)
6. Persoalan
semangat patriotisme dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan
Contoh:
Ahmad Mutawakkil menyeru ahli masyarakat agar mengikis tabiat buruk, berjuang mengubah sikap dan pandangan sempit
bangsa Melayu untuk merdeka. (m/s 50)
No comments:
Post a Comment