
MUNSYI
Cerpen ini
mengisahkan hasrat ‘saya’, seorang anak muda, untuk berhijrah ke kota dihalang
oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya
negatif di bandar. Pada bondanya, ‘saya’ masih belum mantap bahasa ibunda
dan jati dirinya. Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang
nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa. Penjajah
telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah
tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum. Oleh itu,
bonda menasihatkan ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus
dihormati dan disegani. Sebagai seorang warga yang bersifat patriotik,
bonda memiliki banyak buku lama yang berkaitan dengan bahasa,dan sejarah.
Buku-buku tersebut selalu ‘saya’ baca. Menurut bonda, asas kegagahan bangsa
Melayu terletak pada tiga perkara, iaitu akidah Islam, bahasa Melayu dan
kesetiaan pada pemerintah yang adil. Setelah ‘saya’ berasa mampu berjuang di
kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan.
Namun bonda berpesan agar menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa.
Bonda juga mengirimkan sejumlah buku untuk kawan lamanya yang bernama Munsyi
melalui ‘saya’. Apabila tiba di bandar, ‘saya’ menyerahkan buku-buku
tersebut pada kawannya itu yang pada pengamatan ‘saya, Munsyi’ merupakan
seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya. Dia tinggal di tanah
rizab Melayu di sebuah perkampungan tradisi di pinggir bandar. Di bandar,
‘saya’ melihat kaum mudanya telah hilang identiti dan jati diri. Akibat
sibuk bekerja, ‘saya’ tidak bertemu Munsyi. Suatu hari, ‘saya’ mendapat
khabar bahawa perkampungan Munsyi akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan
mewah dan hotel. Apabila ‘saya’ mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera
berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ. ‘Saya’ sedih melihat
buku-buku lama yang telah ‘saya’ bawa, musnah apabila rumah Munsyi dirobohkan
namun Munsyi tidak kelihatan di mana-mana.
TEMA
Semangat cinta akan
bahasa, agama, bangsa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warga
negara. Contohnya, ibu kerap menasihati ‘saya’ agar memelihara dan cinta
akan agama, budaya dan bahasa agar dihormati oleh orang.
PERSOALAN
1. Keinginan anak muda berhijrah ke bandar
untuk membina kehidupan. Contohnya, ‘saya’ memohon keizinan ibunya untuk
berhijrah ke bandar bagi membina kehidupannya seperti kebanyakan remaja yang
lain.
2. Peranan penjajah dalam usaha
memecahbelahkan rakyat sesebuah negara. Contohnya, pihak penjajah telah
menjalankan sistem pecah dan perintah agar agihan kekayaan negara tidak berlaku
secara adil hingga menimbulkan rusuhan kaum akibat rasa tidak puas hati rakyat.
3. Kegigihan anak muda mempelajari segala
ilmu untuk meneruskan kehidupannya. Contohnya, ‘Saya’ tekun belajar pelbagai
ilmu yang berkaitan dengan kehidupan sebelum berhijrah ke bandar.
4. Ketaatan seorang anak terhadap nasihat
ibunya. ‘Saya’ mentaati nasihat ibunya yang tidak membenarkannya berhijrah ke
bandar kerana pada pendapat ibunya ‘saya’ masih belum cukup kuat jati diri
untuk tinggal di bandar.
5. Kebimbangan seorang ibu terhadap
anaknya. Contohnya, ibu keberatan untuk melepaskan ‘saya’ ke bandar kerana
bimbang ‘saya’ terpengaruh akan budaya negatif yang terdapat pada remaja di
bandar.
TEKNIK PENCERITAAN
1. Dialog - “Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik
bonda saya.”
2. Imbas kembali - Saya teringat cerita
bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam empat dekad
lampau.
3. Imbas muka. - Di kota nanti carilah seorang sahabat lama
bonda bernama Munsyi.
4. Pemerian. Salam saya akhirnya dijawab
oleh seorang lelaki di usia emas dengan janggut putih menutupi sebahagian muka
yang putih bersih. Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu
bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan Melayu. Di
jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik.
5. Kejutan. Saya mendengar khabar bahawa
syarikat perumahan akan mengambil alih kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi
dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.
6. Saspens. Aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.
WATAK DAN PERWATAKAN
1. Watak utama - ‘Saya’
·
Seorang yang taat
-‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar.
·
Seorang yang amanah.
-‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu buku-buku yang sepatutnya diserahkan
kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.
·
Seorang yang gemar
membaca- ‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta
membaca banyak buku lama milik ibunya.
·
Seorang yang tidak
mudah putus asa -‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih
bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh
ibunya.
2. Watak sampingan
Bonda ‘saya’
·
Seorang yang
berpengetahuan luas. -Bonda bercerita kepada ‘saya’ tentang sejarah pahit tanah
air.
·
Seorang yang
bersifat patriotik. -Bonda menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa
ibunda dan negara.
·
Seorang yang amat
memahami -Bonda mengizinkan ‘saya’ berhijrah apabila didapati anaknya itu sudah
mantap ilmu dan jati dirinya.
Munsyi
·
Kawan lama bonda.
·
Seorang yang cinta
akan budaya Melayu -Munsyi berpakaian tradisi Melayu yang lengkap dengan keris
ketika menyambut kedatangan ‘saya’.
·
Seorang yang
mengalu-alukan tetamu. -Munsyi tersenyum dan menjemput ‘saya’ masuk ke rumahnya.
LATAR
Latar masa
1. Zaman pemerintahan penjajah - Penjajah
telah memerintah negara menggunakan sistem pecah dan perintah.
2. Zaman selepas merdeka - Rakyat sibuk
mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa dan agama selepas
dijajah.
Latar tempat
1. Di kampung -Pada mulanya, bonda tidak
membenarkan ‘saya’ meninggalkan kampung untuk berhijrah ke kota
2. Di kota -‘Saya’ berhijrah ke kota untuk membina kehidupan
yang lebih sempurna.
3. Di sebuah perkampungan tradisi di
pinggir kota -Munsyi tinggal di sebuah rumah yang terletak di sebuah
perkampungan tradisi di pinggir kota.
Latar masyarakat
1. Masyarakat kampung. -‘Saya’ dan bonda tinggal di kampung.
2. Masyarakat remaja yang tinggal di
bandar. -‘Saya’ dapati masyarakat remaja yang tinggal di bandar kebanyakannya
telah hanyut oleh keseronokan hidup.
3. Masyarakat yang mengamalkan demonstrasi
untuk menunjukkan bantahan. -Penduduk kampung tradisi mengadakan demonstrasi
untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap pencerobohan tanah milik mereka oleh
pihak berkuasa.
4. Masyarakat yang cekal dan berani. - Anak-anak
bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar
pelabuhan yang terkenal.
GAYA BAHASA
1. Kata ganda - Zaman- berzaman
2. Metafora. - Pagar-pagar perkauman, pohon kebenaran, racun
perkauman
3. Peribahasa. -Bahasa jiwa bangsa
4. Simile - Pakaiannya lengkap dengan
tengkolok dan baju Melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman
kesultanan Melayu.
5. Hiperbola -Namun kerana hasad dengki, khianat,
kronisme serta rasuah yang bermaharajalela, kegemilangan yang dibina musnah
sekelip mata.
NILAI
1. Patriotik. Bonda menasihati ‘saya’ agar sentiasa memelihara
bahasa ibunda dan agama.
2. Ketaatan. ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia
berhijrah ke bandar.
3. Kegigihan. Anak-anak bangsa pada zaman
dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang
terkenal.
4. Amanah. ‘Saya’
menyampaikan amanah bondanya iaitu menyerahkan buku-buku kepada Munsyi ketika
‘saya’ pergi ke bandar.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah taat pada perintah dan
larangan ayah dan ibu. ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia
berhijrah ke bandar
2. Kita hendaklah gigih apabila melakukan
sesuatu pekerjaan. Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka
hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.
3. Kita hendaklah rajin membaca untuk
meningkatkan pengetahuan.‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat
Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya.
4. Kita tidak boleh mudah putus asa
apabila menemui kegagalan.‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah
lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh
ibunya.
No comments:
Post a Comment